Other side of me

Showing posts with label Kaedah. Show all posts
Showing posts with label Kaedah. Show all posts

Friday

Boost production di hujung minggu

Jumaat datang lagi (Macam iklan TORA tak..hehe). Hujung minggu pastinya adalah hari yang paling ditunggu-tunggu oleh ibu-ibu bekerja. Masa untuk luangkan lebih masa dengan keluarga, mengemas rumah dan sebagainya. Ini juga adalah masa yang paling sesuai untuk melakukan "sesuatu" bagi menambah pengeluaran susu ibu.
Caranya adalah dengan menggabungkan kesemua faktor yang boleh menambah pengeluaran.

(1) Faktor permintaan - Kerapkan penyusuan secara terus dengan bayi. Susukan bayi selama yang mungkin. Sebaik bayi bertukar ke payudara sebelah lagi, pam payudara sebelah yang telah disusukan. (Contohnya kalau mula-mula susukan sebelah kanan, pam payudara kanan apabila bayi bertukar ke sebelah kiri. Kira macam double pump la) Jangan kecewa sekiranya susu yang keluar hanya sedikit kerana langkah ini adalah bertujuan untuk menghantar signal ke otak supaya lebih banyak susu dihasilkan. Setelah bayi selesai menyusu, lakukan langkah yang sama dengan memerah susu disebelah lagi. Sebaiknya terus lakukan power pumping*

* Power pumping dengan menggunakan double pump - Pam 10 minit, rehat 10 minit. Ulang dalam masa sejam atau lebih.
sekiranya menggunakan single pump - Pam sebelah payudara selama 10 minit kemudian bertukar ke payudara sebelah lagi. Lakukan selama sejam atau lebih.

(2) Faktor masa - Hormon prolaktin adalah paling banyak dihasilkan pada waktu pagi. Oleh itu, lakukan power pumping sebelum tidur (sekitar pukul 12) dan sebaik bangun pagi (subuh hari)

(3) Faktor pemakanan - Cuba pelbagai resepi baru dengan makanan yang boleh menambah pengeluaran susu ibu. Anda pasti akan dapat melihat perubahannya pada hari Isnin nanti. Sebenarnya kaedah ini tidak terhad untuk waktu hujung minggu sahaja. Kalau ada masa, hari bekerja pun boleh. Cuma, mungkin waktu bersama bayi akan lebih terhad pada hari bekerja berbanding pada hujung minggu.

Selamat berhujung minggu :D

Thursday

Penyusuan Susu Ibu : Persediaan ketika hamil

Bagi wanita yang menunggu kelahiran pertama, mereka takkan 100% bersedia sehinggalah saat bayi dilahirkan. Mungkin ramai yang merasakan bahawa mereka telah bersedia untuk menyusukan bayi mereka tetapi apabila tiba saatnya pelbagai cabaran terpaksa ditempuh untuk menjayakannya. Antara persediaan mental yang boleh dilakukan sebelum kelahiran si manja anda.
(1) Ikuti kelas penyusuan susu ibu.
(2) Warwarkan kepada keluarga terdekat bahawa anda ingin menyusukan bayi yang bakal lahir
(3) Pilih hospital yang breastfeeding friendly. Bercakap dengan doktor anda mengenai keinginan anda menyusukan bayi sebaik kelahirannya.
(4) Sertai forum dan komuniti susu ibu seperti susuibu.com
(5) Baca sebanyak mungkin informasi mengenai penyusuan susu ibu
- Kellymom
- Website rasmi LLL
(6) Dapatkan nombor telefon Lactation Counselor yang berdekatan supaya mudah untuk membuat rujukan apabila mengalami sebarang masalah di awal kelahiran.
(7) Ketahui masalah-masalah penyusuan pada awal kelahiran dan cara mengatasinya.
- Masalah puting pendek - Sama ada pendek atau panjang puting sepatutnya tidak menjadi masalah kerana puting serta bahagian areola perlu masuk dalam mulut bayi ketika proses penyusuan. Ini adalah sama seperti masalah puting tenggelam.
- Susu tidak keluar - Sentiasa yakin dan percaya bahawa susu itu ada, satu jam pertama kelahiran bayi adalah paling penting. Letakkan bayi pada payudara dan susukan sekerap mungkin. Rangsangan dari bayi penting untuk memastikan susu keluar. Jangan risau susu anda terlalu sedikit untuk bayi kerana pada awal kelahiran perut bayi adalah dikatakan hanya sebesar kacang, ia tidak memerlukan susu yang banyak untuk mengenyangkannya.
- Ketahui posisi yang sesuai untuk menyusukan sekiranya terpaksa bersalin dengan kaedah csect. Dapatkan bantal khas untuk menyusukan bayi sekiranya mempunyai lebihan budget. Bagaimana pun, bantal yang biasa juga sudah memadai.
- Puting sakit ketika menyusukan bayi - Sekiranya anda terasa sakit ketika menyusukan bayi, ia bermakna posisi penyusuan dan teknik pelekapan adalah salah kerana proses menyusukan bayi bukan satu proses yang menyakitkan.
(8) Yakin dan percaya bahawa anda boleh menyusukan bayi sebaik kelahirannya. Seorang wanita yang normal seharusnya boleh menyusukan bayi mereka. Pengeluaran susu ibu adalah berasaskan konsep supply & demand. Oleh itu, susukan bayi sekerap mungkin sebaik kelahiran mereka.

Tuesday

Menurunkan berat badan sewaktu menyusukan anak

Sebagai wanita dan isteri, kita semua berharap agar dapat mengekalkan bentuk tubuh badan yang menarik untuk menambat hati suami. Yang kurus nak gemuk, yang gemuk nak kurus. Bukan tak puas dengan apa yang dah dikurniakan, tapi nak menjadi lebih baik. Tapi maklum saja lah, bila dah bersalin sekali dua,  berat badan susah nak turun. Tambah lagi bila menyusukan anak sepenuhnya, bukan saja tak boleh ambil ubat pelangsing sebarangan nak berdiet berlebihan pun tak digalakkan. Takut-takut menjejaskan pengeluaran atau membahayakan bayi yang sedang disusukan.

                              

Menurunkan berat badan bagi ibu-ibu yang sedang menyusukan anak bukan satu perkara yang mustahil, tetapi ia memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi. Ini kerana, proses menurunkan berat badan sewaktu menyusukan anak perlu dilakukan secara perlahan lahan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada susu yang disalurkan kepada bayi.

Secara asasnya, menyusukan bayi tidak membuatkan berat badan bertambah. Malah, menurut kajian ibu-ibu yang menyusukan anak lebih mudah menurunkan berat badan berbanding ibu-ibu yang tidak menyusukan anak kerana menyusukan bayi menggunakan antara 200~500 kalori setiap hari. Bagaimana pun perlu diingat, kita masih perlu menjaga pemakanan. Sikap "makan untuk dua orang" hanya akan menambahkan digit-digit pada mata timbang. Sedikit tips yang mungkin berguna untuk ibu-ibu yang ingin menurunkan berat badan.

(1) Minum air secukupnya - Air yang mencukupi dapat melancarkan sistem badan termasuk mengekalkan metabolisme kita pada kadar yang sepatutnya. Seeloknya hanya minum air setengah jam selepas makan.

(2) Makan apabila lapar - Ingat pada wasiat rasulullah "Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang" Paling baik sekali adalah makan enam kali sehari dengan portion yang kecil. Utamakan sarapan pagi. Sarapan pagi perlu diambil dalam masa sejam selepas bangun tidur. Kalau ikut omputeh pulak, breakfast like a king, lunch like a beggar (kott..hehe) Apa pun saya notice that kalau makan breakfast yang kenyang, saya takde rasa nak melantak gila-gila masa lunch. Tapi, make sure jangan pulak makan roti canai atau nasi lemak dan mi goreng bagai ya. Sandwich dengan segelas susu atau juice. Sandwich tu 2-3 keping takpe.

(3) Kunyah perlahan-lahan - Paaaling baik sekali kunyah 44 kali untuk mengurangkan beban perut nak menghadamkan makanan yang cebis besar-besar. Selain dari tu, otak akan terima signal kekenyangan pada waktu yang betul. Kalau makan laju sangat nanti otak tak sempat nak bagi signal dah terlebih kenyang.

(4) Jangan bercakap ketika makan - Selain dari nampak kurang sopan bercakap dengan mulut penuh. Kita akan dapat menikmati makanan dengan lebih baik sekaligus mengelakkan dari tak perasan dah makan banyak mana.

(5) Makan makanan seimbang - Tahu tak yang kajian menunjukkan bahawa ramai orang yang terlebih berat badan zaman sekarang ni sebab tak cukup zat! Ini kerana, kekurangan protein akan menyebabkan badan tak dapat produce enzim (enzim terbina dari asid amino) yang mencukupi untuk mencernakan makanan. Selain itu, orang yang kekurangan protein biasanya mempunyai nafsu makan yang sangat tinggi sebab protein ni biasanya akan membuatkan kita rasa kenyang lebih lama. Vitamin B6 adalah zat penting dalam metabolisme lemak. Kalau kurang, lemak tak dapat dibakar, jadilah lemak-lemak lebih yang bertampung-tampung tu. Kekurangan Vitamin B secara keseluruhannya akan menyebabkan sistem metabolisme menjadi lambat. Kesimpulannya, makan perlu seimbang. Kalau rasa-rasa tak dapat nak penuhi keperluan zat seharian, cubalah ambil supplement. Tapi utamakan makanan seimbang, jangan asyik duk harap pada supplement je.

(6) Kurangkan gula dan makanan rapu - Gula membekalkan kalori yang tiada nilai zat. Selain itu ia juga menambah potensi seseorang diserang penyakit diabetes apabila pengambilan tidak dikawal. Manakala makanan rapu yang mengandungi garam yang tinggi bukan saja menyebabkan nafsu makan sukar dikawal, ia juga dikaitkan dengan risiko penyakit darah tinggi. Tambah lagi, kebanyakan makanan rapu dan makanan segera bukan saja mengandungi garam yang tinggi, malah ia juga mengandungi jumlah MSG yang tinggi. Baru-baru ini, saya menerima satu email berkaitan dengan MSG yang menyatakan bahawa MSG bukan saja dikatakan berpotensi menyebabkan obesiti, ia juga menyebabkan ketagihan (Restoren makanan segera letak MSG banyak-banyak supaya orang ketagih nak makan makanan diorang hari-hari. Betul atau tidak wallahualam)

(7) Banyakkan aktiviti fizikal - Saya pasti ibu-ibu tidak mengalami masalah untuk memperbanyakkan aktiviti fizikal. Ini kerana, walau pun tidak dapat meluangkan masa ke gym atau pun ber aerobik, ibu-ibu akan sentiasa sibuk dengan tugas tugas rumah tangga. Aktiviti senaman sekurang-kurangnya 15minit, dua kali seminggu adalah sangat digalakkan. Bagaimana pun, bagi yang tidak dapat meluangkan masa untuk bersenam, eloklah mengambil alternatif seperti
- Gunakan jalan yang lebih jauh untuk sampai ke satu-satu tempat dengan berjalan
- Berjalan sambil menghayunkan tangan menambah penggunaan kalori
- Melakukan kerja rumah juga membantu membakar kalori
- Aktiviti bersama anak-anak termasuk baby wearing juga membantu
- Gunakan tangga instead of lift atau escalator

(8) Susukan bayi dengan lebih lama dan lebih kerap menggunakan banyak kalori. Berita baiknya, ia juga membantu menambah pengeluaran

(9) Sentiasa positif dan sabar.

Ibu-ibu yang menyusukan anak juga dinasihatkan agar tidak menurunkan lebih dari 4-5 pound (lebih kurang 1.8~2.25kg) dalam masa sebulan.
Note : Keperluan protein bagi individu normal adalah 1.2g/kg, keperluan protein bagi ibu hamil adalah 2.5g/kg

Wednesday

Bila si kecil suka melekap

Tahun 2011 memang tahun murah rezeki buat kawan-kawan terdekat, sejak awal tahun lagi ramai yang beroleh cahaya mata. Tahniah buat ibu bapa yang baru saja menimang cahaya mata. Tahniah juga buat ibu-ibu yang memilih untuk menyusukan bayi mereka dengan penyusuan susu ibu sepenuhnya. Buat yang tidak berjaya, diharap agar tidak putus asa kerana terdapat banyak kaedah untuk menambah pengeluaran susu ibu. Bagi kaum bapa, tunjukkan sokongan kepada isteri atas pengorbanan mereka memberikan komitmen dalam usaha untuk memberikan yang terbaik buat cahaya mata anda. Anda mungkin bernasib baik kerana tidak perlu bangun di tengah malam untuk membancuh susu buat si manja, tapi bersedialah membantu isteri menukar lampin.

Bagi yang pertama kali melalui pengalaman menyusukan bayi tentu rasa teruja apabila melihat si manja khusyuk menyusu tanpa menghiraukan hiruk pikuk persekitaran. Mungkin ramai yang mengadu sakit pinggang apabila mulut kecil itu enggan melepaskan pautan pada ibu. Jangan susah hati kerana perkara ini adalah perkara normal yang berlaku kepada semua bayi yang baru lahir. Biasanya ia tiada kena mengena dengan ibu kurang susu lalu menyebabkan bayi tersebut lapar. Bayi yang baru lahir belum dapat membiasakan diri dengan kehidupan di dunia baru. Dunia di dalam rahim ibunya, ia sentiasa dilindungi oleh cecair amnion dan sentiasa dekat dengan ibunya sehinggakan setiap degupan jantung ibunya dapat didengari oleh bayi tersebut. Apabila ia dilahirkan tentulah bayi itu berasa kurang selamat kerana ia tidak lagi mendengar degupan jantung ibunya.

Ibu bapa dinasihatkan agar tidak menambah susu formula dalam diet bayi yang sedang diberikan susu ibu sepenuhnya. Ini kerana susu ibu adalah sangat unik di mana semakin banyak diminum, semakin banyak yang akan terhasil. Sekiranya anda mula menambah susu formula ke dalam diet bayi,  penghasilan akan berkurangan kerana permintaan yang berkurang. Ini seterusnya akan menggagalkan penyusuan susu ibu secara eksklusif.

Tidak dinafikan bayi yang disusukan dengan susu formula akan tidur kekenyangan lebih lama berbanding bayi yang disusukan dengan susu ibu. Ini adalah kerana, susu formula lebih sukar untuk dihadamkan berbanding susu ibu. Oleh itu, bayi akan berasa kenyang lebih lama. Untuk makluman ibu-ibu, kenyang lebih lama bukanlah semestinya perkara yang baik bagi bayi kerana apabila susu formula boleh menyebabkan bebanan pada sistem penghadaman bayi dan menyebabkan masalah seperti kembung perut dan sembelit. Terdapat kajian yang menyatakan bahawa bayi yang disusukan dengan susu formula lebih cenderung mengalami masalah berkaitan dengan sistem penghadaman seperti gastrik apabila mereka dewasa kelak. Begitu juga dengan bayi yang diberikan makanan separa pepejal terlalu awal.

Di sini saya ingin berkongsi tips bagi menghadapi krisis bayi kerap ingin menyusu pada jangka masa lama

(1) Sekiranya menyusukan dalam keadaan duduk, pastikan kedudukan selesa. Pastikan ibu tidak membongkong. Sokong kedudukan bayi dengan bantal, dan susukan dalam keadaan bersandar dapat mengelakkan dari sakit pinggang.
(2) Sekiranya menyusukan dalam keadaan baring, pastikan anda mengiring mengadap bayi dengan belakang disokong oleh bantal. Kemudian letakkan satu bantal di celah kaki. Letakkan juga bantal kecil untuk menyokong kedudukan bayi
(3) Jangan risau tentang kerja rumah yang terbengkalai kerana dalam tempoh berpantang anda sepatutnya lebih menumpukan perhatian pada bayi dan diri sendiri. Dapatkan bantuan suami atau orang lain untuk menyiapkan kerja-kerja rumah. Pastikan anda mendapat rehat yang mencukupi ketika bayi tidur. Jangan sesekali cuba membuat kerja rumah ketika ini.
(4) Sentuhan dapat membantu bayi agar tidur lebih lena. Urut bayi secara lembut selepas dimandikan dengan minyak bayi. Bagaimana pun pastikan anda kejutkan bayi untuk disusukan setiap 2 jam sekali bagi menggalakkan pengeluaran.
(5) Sebaik yang mungkin, elakkan dari memberikan puting kosong atau penyusuan susu ibu melalui botol pada 2-3 minggu pertama bayi. Ini penting bagi mengelakkan dari kekeliruan puting yang akan menjejaskan penyusuan secara terus (direct feeding) dan seterusnya boleh menyebabkan kegagalan badan menghasilkan susu yang cukup untuk keperluan si manja.
(6) Menurut kajian, kelaparan bukanlah faktor utama yang menyebabkan bayi menangis. Antara punca tangisan bayi adalah seperti, mahukan perhatian/belaian, tidak selesa kerana lampin basah, perut kembung atau kesejukan.
(7) Makan makanan seperti oat, supplement alfalfa, protein powder dan makanan kaya vitamin b (atau tablet b complex) dan omega-3 sedikit sebanyak membantu menambah pengeluaran susu dan sedikit sebanyak menambah kepekatan (memperbaiki kualiti lemak yang terkandung dalam susu)

Jangan lupa sendawakan bayi setiap kali selepas menyusu. Bayi juga mempunyai kecenderungan menghisap susu lebih lama untuk menghilangkan sucking needs mereka (maaf tak pasti terms dalam bahasa) Ada kajian menunjukkan bahawa bayi yang dipenuhi sucking needs nya akan cenderung untuk tidak merokok apabila mereka dewasa kelak. Jadi kepada ibu-ibu, usahlah mengeluh bila bayi nak melekap lebih lama :)

Tuesday

FAQ - Menyusu sewaktu mengandung dan tandem nursing

Antara persoalan yang perlu diketahui

Isu kesihatan
- Adakah selamat menyusukan sewaktu mengandung?
- Adakah selamat menggunakan pam sewaktu mengandung?
- Adakah kuman lebih cepat tersebar kepada kedua-dua bayi yang disusukan sewaktu tandem nursing?

Nutrisi
- Nutrisi bagi ibu
- Adakah menyusu sewaktu mengandung akan memberi kesan kepada bayi di dalam kandungan?

Susu ibu
- Bagaimana perubahan susu ibu sewaktu mengandung dan sewaktu tandem nursing?

Ketidakselesaan dan perkara yang perlu diberi perhatian oleh ibu mengandung
- Tips bagi membuat keputusan sama ada hendak meneruskan penyusuan atau menghentikan penyusuan apabila mengandung dan tandem nursing
- Adakah meneruskan penyusuan sewaktu mengandung menyebabkan bayi akan berhenti menyusu sebelum sampai waktunya?
- Apa yang akan berlaku sekiranya saya ingin menceraikan susu?
- Masalah penyusuan ketika mengandung
- Bagaimana penyusuan akan memberi kesan kepada rasa mual (morning sickness) ketika mengandung?
- Menyusukan bayi sewaktu melahirkan anak

Tandem Nursing
- Adakah saya akan menyukai tandem nursing? Adakah berbaloi untuk saya tandem nursing kedua-dua anak saya?
- Puting pedih dan bengkak susu selepas melahirkan anak
- Adakah bayi yang baru dilahirkan perlu disusukan terlebih dahulu setiap kali?
- Apakah posisi terbaik ketika tandem nursing?
- Bagaimanakah tandem nursing akan memberi kesan kepada hubungan kedua anak saya (sibling rivalry)?
- Bagaimana menjawab kritikan mengenai tandem nursing?

Friday

Sukarnya menyusukan di tempat awam/terbuka

Ramai ibu-ibu muda berasa malu dan segan untuk menyusukan bayi mereka di tempat-tempat awam contohnya di shopping complex ketika membeli belah mahu pun di kedai-kedai makan. Selain dari takut aurat mereka terbuka ketika proses penyusuan, ada juga yang berasa malu dengan pandangan masyarakat terhadap mereka sekiranya mereka menyusukan secara terbuka. Oleh itu, ramai yang merasakan aktiviti mereka akan terhalang atau tergendala kerana penyusuan.

Sebenarnya menyusukan bayi di tempat awam tiada masalah sekiranya tahu caranya. Beberapa tips berguna bagi yang ingin menyusukan di tempat awam.

(1) Susukan bayi sepanjang perjalanan menuju ke destinasi.

(2) Bagi bayi berumur 6 bulan ke atas yang telah memulakan makanan separa pejal, pastikan mereka makan sebelum keluar ke tempat yang di tuju. Bawa bekalan makanan seperti biskut dan air, berikan kepada mereka sekiranya mereka berasa lapar ketika masih di tempat awam.

(3) Sekiranya hendak bershopping cuba cari pusat membeli belah yang menyediakan bilik khas untuk menyusukan bayi. Seperti Sunway Pyramid, Jusco dan sebagainya.

(4) Jika tiada bilik khas untuk menyusukan bayi, gunakan selendang atau nursing cover. Bagi yang bertudung, gunakan tudung untuk melindungi aurat dari terdedah. Sekiranya tidak yakin, berlatih di depan cermin untuk memastikan aurat tidak terdedah ketika menyusukan bayi.

(5) Pakai pakaian yang sesuai. Tidak semestinya memakai baju khas untuk menyusukan, hanya pastikan anda memakai pakaian yang agak longgar agar mudah untuk selak menyelak ketika hendak menyusukan bayi.

(6) Sekiranya keadaan memaksa untuk menyusukan di tempat awam, tenangkan hati dan jangan berasa malu atau segan. Ingatkan diri bahawa anda sedang menunaikan tanggungjawab kepada bayi anda. Tiada apa yang perlu dimalukan.

Wednesday

Berdiet sewaktu breastfeed

hye rai,
nak mintak pendapat u sket about ada mommy yang beriya-iya nak crash diet sebab nk turunkan berat badan wpun sedang breastfeed n baby baru jer 2 bulan..
what do u think? do share ya..tq

Salam Zzana,
Saya pun takde la expert sangat tapi kalau ikut pengalaman peribadi, berat badan saya balik kepada asal lepas fully breastfeed my son 2 bulan. Memang without effort. Takde diet-diet pun. Lagi pun since kita breastfeed anak, kalau boleh elakkan diet dengan beria-ria sangat..Sebab lepas 2 bulan bersalin badan kita masih lagi dalam tempoh recovery. Kita perlu makan dengan gizi seimbang bagi membolehkan badan kita sembuh seperti sediakala dan dalam masa yang sama membekalkan zat yang cukup kepada bayi yang disusukan. Penurunan berat badan yang mendadak boleh mengurangkan pengeluaran susu. Kalau nak turunkan berat badan cuba tips yang bawah ni :-

(1) ambil makanan yang seimbang.
(2) Makan dalam jumlah yang sikit tapi kerap.
(3) Elakkan dari makan junk food..jajan semua jangan makan. Selain dari tak elok untuk badan kita, tak elok jugak untuk baby.
(4) Rajin bersenam

Jangan expect berat akan turun pomm..10kg dalam masa seminggu..berat akan gradually turun. Malah lagi rajin kita breastfeed kat baby, lagi mudah nak turun berat badan. So, janganlah anggap breastfeed tu satu halangan kita nak menurunkan berat badan. Banyakkan sabar dan pastikan ikut tips tu insya allah takde masalah.

Tuesday

Berapa kali perlu memerah di pejabat

Ramai ibu-ibu yang masih belum mempunyai pengalaman memerah susu akan tertanya-tanya, berapa kali perlu memerah susu sewaktu berjauhan dari bayi. Sebenarnya ini adalah terpulang pada keperluan dan kehendak masing-masing. Kebiasaannya 3-4 kali waktu memerah adalah mencukupi. Sekiranya anda hanya boleh meluangkan 2 kali masa untuk memerah. Dinasihatkan tambahkan masa memerah bagi memastikan pengeluaran susu tidak terganggu.


Mungkin ramai ibu yang begitu sibuk sewaktu berada di pejabat dan merasakan bahawa mereka tidak mempunyai banyak masa untuk memerah susu. Di sini lah keperluannya ibu-ibu berbincang dengan majikan untuk memberitahu mereka bahawa sekembalinya dari cuti bersalin ibu-ibu ingin meneruskan penyusuan secara ekslusif kepada bayi. Oleh itu, sebagai majikan mereka haruslah memahami bahawa ia adalah tanggungjawab seorang ibu dan mereka harus sekurang-kurangnya membantu anda melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Sekiranya pekerja lelaki boleh diberikan sedikit kebebasan untuk pergi merokok, seharusnya lah ibu-ibu juga diberikan masa untuk menunaikan tanggungjawab kepada bayi mereka. Anda juga boleh meluangkan sedikit masa ketika makan tengah hari untuk memerah susu, tanpa mengganggu waktu kerja. Kemudian cari satu atau dua lagi masa untuk memerah susu contohnya sewaktu hendak pegi sembahyang bagi yang beragama islam. Pastikan anda luangkan masa untuk memerah bagi mengelakkan buah dada terlalu bengkak dan menyebabkan kesakitan.

Pastikan pencapaian anda di syarikat baik bagi mengelakkan kata-kata kurang menyenangkan dari majikan mahu pun rakan sekerja anda.

Kedudukan sewaktu menyusukan bayi

Kedudukan badan sewaktu menyusukan bayi yang tidak betul boleh menyebabkan sakit pinggang.

Menyusukan bayi dalam kedudukan duduk
Letakkan bantal dibelakang badan dan atas peha (utk ampu baby supaya tidak membongkok ke arah bayi). Kemudian, letak kaki atas satu kerusi kecil/stool/otomen.

Menyusukan bayi dalam kedudukan baring
Baring mengiring dan dalam mengadap baby dan bayi juga mengadap badan ibu (tummy to tummy position), letakkan bantal di belakang badan dan bayi (untuk sendal badan ibu dan bayi supaya selesa). Kemudian letak satu bantal (kecil @besar) dicelah kedua peha ibu. Kemudian tinggikan kedudukan kepala dengan meletakkan bantal besar di bawah kepala.

Bagi ibu-ibu yang bersalin secara pembedahan, menyusukan bayi sambil baring adalah digalakkan bagi mengelakkan kesakitan sewaktu menyusukan. Bagaimana pun, dinasihatkan agar berhati-hati sewaktu menyusukan bayi sambil berbaring bagi mengelakkan bayi kelemasan. Selain dari itu penggunaan nursing pillow juga dikatakan dapat membantu ibu-ibu yang bersalin secara pembedahan.

Monday

Bagaimanakah mendapatkan sokongan

Dalam menjayakan penyusuan susu ibu secara ekslusif sehingga sekurang-kurangnya 6 bulan pertama selepas kelahiran bayi, sokongan dari orang-orang yang terdekat terutamanya suami dan keluarga amatlah penting.

Berbincanglah dengan suami tentang keputusan anda untuk menyusukan bayi anda selama mungkin. Terangkan segala kebaikan dan khasiat susu ibu kepadanya. Sekiranya anda menyusukan bayi dengan susu ibu, suami tentulah tidak perlu bangun malam untuk membantu anda membancuh susu Formula kepada bayi yang lapar. Dia juga boleh berjimat kerana tidak perlu membelikan anda produk menguruskan badan penyusuan susu ibu dapat membantu ibu-ibu menurunkan berat badan.

Bagaimana pun, ibu-ibu juga perlu menanamkan keazaman yang kuat untuk memberikan penyusuan susu ibu kepada bayi. Ini kerana, penyusuan susu ibu terutamanya bagi ibu-ibu bekerja bukanlah satu tugas yang mudah. Malah, masih banyak ibu-ibu di Malaysia yang lebih senang memberikan susu Formula kerana berpendapat yang mahal adalah terbaik, memandangkan terdapat banyak susu Formula yang mempunyai begitu banyak kebaikan untuk bayi.

Oleh itu, ibu-ibu yang ingin menjayakan susu ibu perlulah mengetahui, sehingga hari ini, tiada susu Formula yang dapat menandingi kebaikan susu ibu dari segi khasiat yang terkandung di dalamnya. Malah, kandungan khasiat susu Formula tetap, tetapi khasiat yang terkandung di dalam susu ibu akan berubah mengikut keperluan bayi. Susu ibu lebih mudah dihadamkan oleh bayi berbanding susu Formula.

Jangan pedulikan pandangan orang luar mengenai keputusan anda untuk memberikan yang terbaik untuk bayi anda. Sekiranya orang-orang yang terdekat dengan anda menasihati anda untuk memberikan bayi anda susu Formula, terangkan kepadanya anda ingin memberikan yang terbaik untuk bayi anda dan yang terbaik untuknya adalah susu ibu.

Bagi ibu-ibu bekerja, anda mungkin perlu memberitahu majikan anda mengenai keputusan untuk meneruskan penyusuan susu ibu selepas kembali bekerja. Ini penting, kerana anda akan memerlukan masa untuk memerah susu beberapa kali dalam waktu kerja. Adalah bonus bagi anda sekiranya majikan anda bermurah hati menyediakan bilik khas untuk memerah susu di pejabat.

Di Malaysia, antara syarikat yang menyediakan bilik khas untuk memerah susu di pejabat yang dilengkapi dengan sink dan peti sejuk adalah IBM. Bagaimana pun jangan berputus asa sekiranya majikan anda tidak menyediakan ruang untuk memerah susu, kerana anda masih boleh memerah susu di surau atau stor atau pun pinjam bilik mesyuarat. Sekiranya anda tidak mempunyai pilihan selain dari memerah susu di tandas, dinasihatkan menggunakan pam.

Sunday

Pelekapan yang betul

Penyusuan susu ibu bukanlah sesuatu yang menyakitkan. Sekiranya berasa sakit sewaktu menyusukan bayi, berkemungkinan besar teknik pelekapan kurang baik. Faktor ini bukan saja menyebabkan kesakitan kepada ibu, malah bayi juga tidak dapat membantu mengosongkan susu.

Mengapa teknik pelekapan (latch-on) itu penting :-
(1) untuk mengelak kesakitan, luka atau melecet pada puting payudara ibu
(2) memastikan bayi mendapat susu secukupnya dalam keadaan tenang
(3) mengelakkan bayi meragam, putus asa dan keletihan
(4) mengelakkan bengkak payudara ibu


Pelajari teknik pelekapan yang betul melalui video di Youtube atau pun melalui pakar laktasi.

Cara memastikan teknik lekapan bayi adalah betul dengan melihat faktor-faktor tersenarai di bawah :-

(1) Mulut bayi terbuka luas
(2) Dagu bayi memcecah payudara
(3) Bibir atas dan bawah melengkup keluar
(4) Mulut bayi merangkum sebahagian besar kawasan areola
(5) Pipi bayi menggelembung
(6) Ada nada hisapan glup..glup.. hisap-telan-hisap-telan

Simpanan susu

Ramai wanita yang pertama kali melahirkan anak yang berhasrat untuk meneruskan penyusuan selepas kembali bekerja akan berasa keliru sebanyak mana susu yang perlu dibekalkan untuk keperluan bayi ketika ketiadaan mereka. Serta berapa banyak susu yang perlu sentiasa ada di dalam peti sejuk di rumah.

Jawapannya ini adalah bergantung kepada keperluan bayi mereka sendiri. Latihan penyusuan menerusi botol bukan saja untuk melatih bayi minum susu menerusi botol ketika ketiadaan ibu, tetapi juga untuk memastikan jumlah susu dan kekerapan mereka minum susu ketika ketiadaan ibu mereka. Sewaktu dalam cuti bersalin, pastikan anda menyediakan sebanyak mungkin susu simpanan ( Frozen stock) di dalam peti sejuk di rumah.

Tujuan frozen stock adalah untuk masa-masa kecemasan, contohnya pada hari anda terpaksa pulang lewat dari kerja atau pun pada masa-masa pengeluaran kurang berbanding permintaan. Pastikan anda lebihkan memberi susu perahan segar ( Maksud susu perahan segar adalah susu yang diperah pada hari ini, kemudian disimpan dalam peti sejuk dan tidak dibekukan kemudian diberikan pada bayi untuk keesokan harinya ) Ini kerana, walau pun susu yang telah dibekukan lebih baik daripada susu Formula, bau serta rasanya sedikit berlainan dari susu yang tidak dibekukan. Khasiatnya juga sedikit berkurangan berbanding susu yang segar.

Bagi ibu-ibu yang mula memerah susu seawal dua minggu pertama, dinasihatkan jangan berasa kecewa sekiranya hasil susu yang diperah sedikit jumlahnya. Ini kerana, walau pun apabila dilihat daripada mata kasar, bayi akan menghisap dengan bersemangat sewaktu penyusuan secara terus, jumlah yang diminum bukanlah teramat banyak. Adalah normal sekiranya hasil perahan pada 2 minggu pertama selepas kelahiran bayi adalah sekitar 0.5Oz setiap sesi. Oleh kerana itu, terdapat banyak pakar berpendapat sebaiknya ibu-ibu mula memerah susu selepas 4 minggu kelahiran bayi kerana pada ketika ini, penghasilan susu akan mula stabil.

Saturday

Pensterilan

Setiap alat yang digunakan untuk memerah, menyimpan susu ibu hendaklah disteril bagi memastikan kebersihannya.

Bagi ibu-ibu bekerja yang menggunakan pam untuk memerah susu di pejabat, mereka tidak perlu mensteril pam setiap kali selepas digunakan. Lap lebihan susu di corong pam kemudian simpan di dalam beg tahan sejuk bersama-sama susu yang telah diperah untuk digunakan pada sesi memerah seterusnya. Pam perlu di cuci dengan air sabun yang panas selepas pulang ke rumah. Ada sesetengah ibu yang mensteril pam setiap hari selepas pulang ke rumah. Bagaimana pun, pensterilan ke atas pam boleh juga dilakukan sekali setiap hujung minggu.

Terdapat banyak produk untuk mensteril yang terdapat di pasaran, bagaimana pun kaedah paling murah dan mudah untuk mensteril adalah dengan merebus alatan tersebut di dalam air mendidih selama lebih kurang 5 ke 10minit. Sekiranya menggunakan pil pensterilan, dinasihatkan tidak mengelap atau membilas semula alatan dengan air paip selepas selesai disteril. Letakkan alatan di tempat berangin bagi proses pengeringan semula jadi.

Forum berkaitan : Susuibu.com

Kaedah memerah

Memerah susu ibu adalah bertujuan untuk membekalkan susu ibu ketika ibu tiada bersama dengan bayi, terutamanya bagi ibu-ibu yang bekerja. Selain dari itu, memerah susu ibu boleh merangsang pengeluaran serta meningkatkan pengeluaran susu ibu. Bagi bayi pra-matang yang belum bersedia menghisap susu secara terus dari ibunya, susu diperah dan disalurkan kepada bayi melalui saluran tiub atau pun menggunakan shringe. Selain dari itu, ibu-ibu jugak memerah susu ibu untuk mengelakkan pembengkakan buah dada yang boleh menyebabkan kesakitan kepada ibu.

Bagi mendapatkan hasil yang lebih baik, lakukan urutan lembut pada buah dada. Selain dari itu, penggunaan tuala suam juga membantu melancarkan pengaliran susu ketika memerah.

Terdapat beberapa kaedah memerah yang boleh dilakukan

(1) Menggunakan tangan
Selain daripada mudah, ia juga murah dan bagi ibu yang sudah mahir, mereka dapat memerah susu yang lebih banyak berbanding menggunakan pam.
>Kaedah<
(A) Basuh tangan dan bekas yang akan anda gunakan untuk menadah susu badan. Duduk dalam keadaan yang anda selesa. Letakkan bekas tadi di bawah puting anda. Letakkan tuala basah yang suam untuk merangsang pengaliran susu. Urut payudara dan puting untuk mendapatkan refleks ejeksi susu. Tekan perlahan-lahan sambil membuat bulatan di sekeliling payudara.
(B) Tekan payudara dengan lembut, gerakkan jari-jari anda dari bahagian dada ke arah puting.
(C) Posisikan ibu jari dan 4 jari lain 2-3 cm di belakang puting dan tekan payudara anda.
(D) Tekan jari-jari anda sambil menggolekkannya ke arah puting. Lepaskan dan tekan semula untuk mengeluarkan susu. Anda sepatutnya tidak merasa sakit semasa proses ini.
(E) Tukar posisi jari-jari anda ke bahagian lain pula untuk memerah duktus-duktus susu yang lain pula. Selepas 3-5 minit, aliran susu akan semakin perlahan. Tukar Payudara sebelah pula. Lakukan proses yang sama dan selepas itu anda boleh beralih semula ke payudara pertama tadi. Ulang semampu anda. Kebiasaannya, sesi-sesi awal mengambil masa 20-30 minit. Setelah anda menguasai teknik ini, masa yang diambil akan semakin pendek.


(2) Menggunakan pam manual

Kini terdapat banyak jenama pam manual dipasaran, terpulang kepada budget dan keperluan ketika membeli pam. Tidak semestinya pam yang mahal akan memberikan hasil perahan susu yang banyak, kerana ia bergantung kepada cara memerah. Kebaikan menggunakan pam manual ialah, ianya ringan serta boleh digunakan dimana-mana kerana tidak memerlukan sumber elektrik.

Bagaimana pun sesetengah ibu berpendapat penggunaan pam manual agak memenatkan. Kelebihannya ialah, dengan penggunaan pam manual, kadar sedutan pam boleh dikawal dengan mudah bersesuaian dengan kadar hisapan bayi. Ramai ibu berpendapat dengan penjagaan yang baik, pam manual boleh tahan lebih lama dan boleh digunakan untuk bukan saja seorang malah hingga beberapa orang anak.


Contoh pam manual yang terdapat dipasaran:
(A) Avent Isis ( Basic: RM219, Out and About : RM389, Jusco, Babyland)
(B) Pureen (Jusco) (C) Pigeon manual (Rm50++)
(C) Anakku (RM49.90)

(D) MAM Care
(E) Medela Harmony


(3) Pam menggunakan kuasa bateri

Pam bateri tidak banyak terdapat dipasaran tetapi masih mendapat tempat memandangkan ia tidak memenatkan sebagaimana pam manual dan tidak begitu berat berbanding pam elektrik. Bagaimana pun, apabila kuasa bateri semakin berkurangan kadar sedutan pam akan sedikit terjejas dan perlu sentiasa menyediakan bateri spare untuk masa-masa kecemasan. Bagaimana pun jangan panik sekiranya terlupa membawa bateri spare kerana masih boleh memerah susu dengan menggunakan tangan.

Jenis pam berkuasa bateri yang boleh didapati :
(A) Pureen
(B) Tollyjoy


(4) Pam menggunakan kuasa elektrik

Walau pun pam elektrik jauh lebih mahal berbanding pam manual dan bateri, tetapi ia semakin diminati ramai kerana memudahkan kerja mengepam serta dapat menjimatkan masa. Ini kerana, bagi kebanyakan ibu bekerja masa untuk mengepam adalah amat terhad dan penggunaan pam elektrik, lebih-lebih lagi dual-pump dapat membantu mereka menjimatkan masa mengepam di samping mendapat hasil sebagaimana penggunaan pam manual yang biasanya sedikit mengambil masa dan agak memenatkan.

Faktor-faktor ini sedikit sebanyak membantu ibu-ibu terus menyusukan bayi mereka secara ekslusif. Tetapi, haruslah berhati-hati ketika memilih kuasa sedutan kerana sekiranya memilih kadar sedutan (suction) yang terlalu kuat, bukan saja hasil yang didapati bakal mengecewakan malah ia akan turut menyebabkan kesakitan. Selain dari itu, oleh kerana memerlukan sumber elektrik dan agak berat penggunaannya agak terhad.

Ada sesetengah ibu yang memilih pam manual ketika berada di tempat kerja, dan menggunakan pam elektrik ketika di rumah untuk digunakan ketika bangun untuk memerah susu di awal pagi. Ini adalah terpulang kepada keperluan individu.
Contoh-contoh pam elektrik yang biasa digunakan
(A) Spectra 3 (RM368)
(B) Ameda-lactaline dual breastpump (RM788)
(C) Medela mini e (RM449) , Dual pump (RM699), Swing (RM768)

Apa pun jenis pam atau kaedah yang digunakan pastikan sentiasa menggunakan barang yang bersih dan disteril. Cuci tangan dengan sabun sebelum memerah susu.

Friday

Persediaan sebelum mula bekerja

Bagi kebanyakan suri rumahtangga, mereka tidak mempunyai masalah untuk menyusukan bayi secara ekslusif kepada bayi sehingga sekurang-kurangnya 6 bulan pertama bayi mereka kerana kebanyakan masa mereka dihabiskan di rumah bersama-sama bayi mereka. Walaubagaimana pun bagi ibu-ibu yang bekerja, mereka mungkin akan mula memikirkan bagaimana hendak meneruskan penyusuan susu ibu tanpa memberikan susu Formula kepada bayi mereka ketika mereka keluar bekerja.

Menurut kajian, kebanyakan ibu-ibu di Malaysia hanya meneruskan penyusuan susu ibu secara ekslusif sehingga mereka habis cuti bersalin. Apabila mereka mula bekerja kebanyakan ibu memilih untuk memberikan susu Formula kepada bayi mereka kerana merasakan ia lebih mudah. Ada juga diantara ibu-ibu ini yang memilih untuk memberikan susu Formula kepada bayi mereka sewaktu mereka keluar bekerja dan meneruskan penyusuan susu ibu ketika mereka berada berdekatan dengan bayi akibat kekurangan pengetahuan mengenai kaedah mengepam dan menyimpan susu ibu. Ini menyebabkan susu mereka berkurangan sedikit demi sedikit dan biasanya akan habis langsung selepas beberapa bulan.

Bagi ibu-ibu bekerja yang berhasrat untuk menjayakan penyusuan susu ibu walau pun setelah kembali bekerja, mereka boleh mula menyediakan simpanan susu ibu dari dua hingga tiga minggu sebelum kembali bekerja. Bayi juga perlu di ajar minum susu yang diperah menerusi botol. Bagaimana pun kebanyakan pendapat tidak menggalakkan latihan menerusi botol ini di mulakan terlalu awal bagi mengelakkan bayi mengalami kekeliruan puting. Ini juga merupakan satu perkara yang tidak boleh diambil ringan bagi ibu-ibu yang ingin menjayakan penyusuan susu ibu secara ekslusif.

Pastikan anda menghabiskan sebanyak mungkin masa menyusukan bayi secara terus pada bulan pertama kelahiran bayi bagi menggalakkan pengeluaran susu. Anda boleh mula memerah susu bagi tujuan simpanan seawal 2 minggu pertama selepas kelahiran. Bagaimana pun anda harus memastikan bayi anda mendapat susu yang cukup sewaktu menyusukan secara terus. Anda boleh memilih memerah menggunakan tangan atau menggunakan pam. Kini, terdapat pelbagai jenis pam yang mudah didapati di kedai-kedai barangan bayi sama ada di pasaraya mahu pun di internet. Pilih pam yang bersesuaian dengan kehendak anda sama ada manual, pam berbateri mahupun pam yang menggunakan sumber elektrik. Anda juga harus memastikan susu disimpan dengan betul dan dilabel bagi mengelakkan anda memberi susu yang telah tamat tempoh kepada bayi anda.

Sewaktu latihan memberi susu perahan kepada bayi menerusi botol, pastikan anda minta bantuan orang lain untuk memberikan susu tersebut. Ini kerana kebanyakan bayi akan menolak dari minum susu menerusi daripada ibunya. Terdapat juga sesetengah bayi yang menolak dari minum susu menerusi botol. Ini menyebabkan ada sesetengah ibu bapa memilih untuk memberikan susu Formula kepada bayi mereka. Ia adalah satu langkah yang kurang tepat kerana bayi menolak botol disebabkan oleh puting bukan kerana kandungan susu di dalam botol tersebut. Jadi, elakkan dari memberi bayi anda susu Formula apabila dia menolak dari minum susu perahan menerusi botol.
Blog Widget by LinkWithin