Other side of me

Monday

Adakah selamat menyusu sewaktu mengandung?

Ramai ibu-ibu yang menyusukan bayi mereka berasa ragu-ragu hendak meneruskan penyusuan setelah mendapati mereka mengandung. Walau pun sebenarnya ramai pakar laktasi berpendapat kebanyakan ibu tidak bermasalah untuk meneruskan penyusuan ketika mengandung, namun begitu masih ramai lagi yang bertindak menghentikan penyusuan.

Dalam usia kandungan mencecah 28 minggu, saya masih lagi menyusukan anak saya. Bagaimana pun, disebabkan masalah kekurangan susu yang amat teruk saya terpaksa memberikan susu formula, susu soya (kotak) dan juga susu segar kepada anak saya yang berumur satu tahun setengah. Setakat ini, selain dari masalah keletihan dan kesakitan pada puting, saya tidak menghadapi sebarang masalah serius dengan kandungan saya. Malah, doktor juga membenarkan saya meneruskan penyusuan selagi saya mampu.

Terdapat banyak pendapat tentang perlunya menghentikan penyusuan ketika mengandung, tetapi tidak semuanya tepat.

(1) Hisapan bayi akan menyebabkan pengecutan pada rahim dan boleh menyebabkan kelahiran pra-matang pada kandungan - Hisapan bayi akan merembeskan hormon prolaktin yang menyebabkan contraction, keadaan yang sama berlaku ketika melakukan hubungan antara suami isteri. Kebanyakan pakar berpendapat, kadar hormon yang dirembeskan tidak cukup untuk menyebabkan kelahiran pada bayi yang sedang dikandung oleh ibu tersebut.

(2) Bayi dalam kandungan akan mengalami masalah kekurangan nutrisi - Badan manusia telah diciptakan dengan cukup sempurna di mana ia mampu membahagikan nutrisi seimbang kepada bayi dalam kandungan untuk membesar dan menghasilkan nutrisi yang cukup untuk bayi yang sedang menyusu. Bagaimana pun, dalam kebanyakan kes, hormon yang dirembeskan ketika mengandung akan menyebabkan ibu mengalami kekurangan susu. Oleh kerana itu, bayi yang lebih dewasa perlu nutrisi tambahan dari makanan atau pun susu formula bagi menampung keperluan nutrien bagi tumbesaran mereka.

(3) Penyusuan sewaktu mengandung meningkatkan risiko ibu mengalami osteoporosis (tulang rapuh) sewaktu mengandung - Setakat ini tidak ada kajian yang dapat membuktikan ibu-ibu yang mendapat nutrisi yang mencukupi sewaktu mengandung akan menghadapi masalah tulang rapuh apabila menyusukan anak sewaktu mengandung. Malah menyusukan bayi dapat mengurangkan risiko kanser payudara bagi wanita.

Menyusukan bayi sewaktu mengandung secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara ibu, bayi yang lebih tua dan juga bayi di dalam kandungannya. Secara peribadinya, saya mendapati anak saya dapat memahami bahawa dia bakal menjadi abang dengan melihat perubahan fizikal saya dan dalam masa yang sama dia menunjukkan kasih sayang kepada bayi dalam kandungan saya dengan mencium dan juga memeluk perut saya. Walau bagaimana pun, sekiranya anda masih berasa ragu-ragu untuk meneruskan penyusuan ketika mengandung dapatkan nasihat pakar sebelum membuat sebarang keputusan.

2 comments:

Nurul Muhd said...

Anak-anak saya lahir pada 2005, 2007, 2009 dan 2011. Saya menyusukan kesemuanya semenjak kelahiran anak pertama sehingga ke hari ini. Anak-anak saya berhenti menyusu hanya pada malam apabila adik mereka akan dilahirkan. Kini, sudah lebih 6 tahun saya menyusukan anak-anak saya. Memang saya ada mengalami masalah ketika menyusukan disaat saya sedang hamil, namun pada saya ianya lebih kepada masalah biasa yang dialami oleh wanita hamil disamping faktor usia yang kian meningkat. Namun, apa yang lebih penting adalah semangat untuk memberikan yang terbaik kepada mereka. Sehingga kini saya masih menyusukan anak keempat saya.

Unknown said...

nurulakmar,

thanks sudi share pengalaman. ramai orang da mula terbuka minda tentang penyusuan masa mengandung. tapi masih banyak lagi yg masih susah hati nak meneruskan penyusuan bila disahkan mengandung kan...

Blog Widget by LinkWithin