Ya. Penyusuan susu ibu akan menjadi sukar sekiranya anda tidak benar-benar memahami cabaran dan permasalahan yang bakal anda hadapi untuk menjayakannya. Malah ramai ibu-ibu yang pertama kali cuba menyusukan bayi mereka tidak berjaya dalam penyusuan susu ibu sepenuhnya sehingga dua tahun kerana tidak mempunyai pengetahuan yang cukup tentang penyusuan susu ibu selain dari mendapat nasihat dan pandangan dari orang yang tidak arif tentang penyusuan susu ibu.
Antara perkara yang mesti dipelajari ketika bayi masih dalam kandungan lagi adalah kaedah pelekapan yang betul. Ini kerana, kaedah pelekapan yang salah akan menjadi punca bayi kerap menangis, berat bayi yang tidak bertambah, dan merupakan salah satu punca susu menjadi kering. Malah, ia boleh menjadi punca kepada kesakitan puting sedangkan proses penyusuan susu ibu sepatutnya merupakan saat bahagia bagi setiap wanita bukan pengalaman ngeri. Posisi yang baik ketika menyusukan bayi juga penting kerana ketika dalam pantang, wanita yang baru lepas bersalin memerlukan rehat yang secukupnya.
Puting tenggelam juga tidak seharusnya menjadi alasan untuk tidak menyusukan bayi. Wanita yang bakal menjadi ibu yang bercadang hendak menyusukan bayinya sepenuhnya juga harus mengetahui masalah-masalah berkaitan penyusuan yang bakal dihadapinya sepanjang tempoh penyusuan. Bagi wanita yang bekerjaya pula mereka hendaklah melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang kaedah penyusuan dan persedian apabila mereka hendak kembali bekerja kelak.
Walau apa pun permasalahan yang dihadapi, pastikan anda sentiasa mendapatkan nasihat melalui saluran yang betul.
No comments:
Post a Comment