Other side of me

Friday

Persediaan sebelum mula bekerja

Bagi kebanyakan suri rumahtangga, mereka tidak mempunyai masalah untuk menyusukan bayi secara ekslusif kepada bayi sehingga sekurang-kurangnya 6 bulan pertama bayi mereka kerana kebanyakan masa mereka dihabiskan di rumah bersama-sama bayi mereka. Walaubagaimana pun bagi ibu-ibu yang bekerja, mereka mungkin akan mula memikirkan bagaimana hendak meneruskan penyusuan susu ibu tanpa memberikan susu Formula kepada bayi mereka ketika mereka keluar bekerja.

Menurut kajian, kebanyakan ibu-ibu di Malaysia hanya meneruskan penyusuan susu ibu secara ekslusif sehingga mereka habis cuti bersalin. Apabila mereka mula bekerja kebanyakan ibu memilih untuk memberikan susu Formula kepada bayi mereka kerana merasakan ia lebih mudah. Ada juga diantara ibu-ibu ini yang memilih untuk memberikan susu Formula kepada bayi mereka sewaktu mereka keluar bekerja dan meneruskan penyusuan susu ibu ketika mereka berada berdekatan dengan bayi akibat kekurangan pengetahuan mengenai kaedah mengepam dan menyimpan susu ibu. Ini menyebabkan susu mereka berkurangan sedikit demi sedikit dan biasanya akan habis langsung selepas beberapa bulan.

Bagi ibu-ibu bekerja yang berhasrat untuk menjayakan penyusuan susu ibu walau pun setelah kembali bekerja, mereka boleh mula menyediakan simpanan susu ibu dari dua hingga tiga minggu sebelum kembali bekerja. Bayi juga perlu di ajar minum susu yang diperah menerusi botol. Bagaimana pun kebanyakan pendapat tidak menggalakkan latihan menerusi botol ini di mulakan terlalu awal bagi mengelakkan bayi mengalami kekeliruan puting. Ini juga merupakan satu perkara yang tidak boleh diambil ringan bagi ibu-ibu yang ingin menjayakan penyusuan susu ibu secara ekslusif.

Pastikan anda menghabiskan sebanyak mungkin masa menyusukan bayi secara terus pada bulan pertama kelahiran bayi bagi menggalakkan pengeluaran susu. Anda boleh mula memerah susu bagi tujuan simpanan seawal 2 minggu pertama selepas kelahiran. Bagaimana pun anda harus memastikan bayi anda mendapat susu yang cukup sewaktu menyusukan secara terus. Anda boleh memilih memerah menggunakan tangan atau menggunakan pam. Kini, terdapat pelbagai jenis pam yang mudah didapati di kedai-kedai barangan bayi sama ada di pasaraya mahu pun di internet. Pilih pam yang bersesuaian dengan kehendak anda sama ada manual, pam berbateri mahupun pam yang menggunakan sumber elektrik. Anda juga harus memastikan susu disimpan dengan betul dan dilabel bagi mengelakkan anda memberi susu yang telah tamat tempoh kepada bayi anda.

Sewaktu latihan memberi susu perahan kepada bayi menerusi botol, pastikan anda minta bantuan orang lain untuk memberikan susu tersebut. Ini kerana kebanyakan bayi akan menolak dari minum susu menerusi daripada ibunya. Terdapat juga sesetengah bayi yang menolak dari minum susu menerusi botol. Ini menyebabkan ada sesetengah ibu bapa memilih untuk memberikan susu Formula kepada bayi mereka. Ia adalah satu langkah yang kurang tepat kerana bayi menolak botol disebabkan oleh puting bukan kerana kandungan susu di dalam botol tersebut. Jadi, elakkan dari memberi bayi anda susu Formula apabila dia menolak dari minum susu perahan menerusi botol.

1 comment:

Haslinda VitaLynd said...

Good info.. Thanx for sharing

Blog Widget by LinkWithin