Ramai orang berpendapat ibu-ibu menyusu dan mengandung perlu berpantang dalam pemakanan mereka bagi mengelakkan komplikasi kepada bayi ketika melahirkan anak atau pun selepas anak itu dilahirkan bagi ibu yang menyusukan bayi.
Sama ada memilih untuk berpantang atau tidak ia adalah hak individu itu sendiri. Antara pantang larang yang biasa diamalkan oleh masyarakat melayu.
(1) Jangan makan makanan yang "tajam" sewaktu mengandung
Paling biasa kita dengar adalah pesanan jangan makan nenas kerana takut kandungan keguguran. Ada sesetengah individu masih mengamalkan pantang larang ini. Manakala individu yang lebih "moden" berpendapat nenas adalah baik untuk kesihatan kerana ia kaya dengan vitamin C.
(2) Jangan makan makanan "sejuk" dan "berangin"
Seperti yang kita ketahui makanan seperti pulut,labu dan ubi boleh menyebabkan kembung perut. Manakala sayur seperti kubis dan tembikai pula dikatakan "sejuk" bagi peranakan wanita. Bagi wanita yang menyusukan bayi, makan makanan berangin boleh menyebabkan kembung perut bukan saja kepada dirinya sendiri, malahan kepada bayi yang disusukannya.
(3) Jangan makan makanan pedas
Makanan yang pedas ditakuti akan menyebabkan bayi sakit perut dan cirit-birit.
(4) Pantang minuman yang mengandungi kafein
Minum kopi dan teh ketika menyusukan bayi dikatakan boleh menyebabkan bayi sukar tidur malam dan menjadi lebih aktif.
Ada ibu-ibu yang sangat mengikuti pantang larang orang tua-tua ini, tetapi ada juga yang tidak begitu menghiraukannya kerana beranggapan bahawa pantang larang ini telah pun lapuk. Walau pun minuman berkafein memang sedikit sebanyak boleh menyebabkan bayi sukar tidur sekiranya diambil dengan banyak, tetapi belum ada fakta saintifik menunjukkan bahawa makan nenas boleh menyebabkan keguguran.
Tepuk dada tanya selera. Secara peribadinya, saya tidak begitu mengikuti pantang larang sama ada ketika mengandung, ketika dalam pantang selepas bersalin mahu pun ketika dalam tempoh menyusukan bayi tetapi saya sentiasa makan dalam jumlah yang berpada-pada.
Bagaimana pun, bagi ibu-ibu yang pernah menunjukkan reaksi alergi terhadap mana-mana makanan, disarankan elakkan memakannya ketika dalam tempoh penyusuan kerana ditakuti bayi turut menunjukkan reaksi alahan terhadap makanan tersebut.
No comments:
Post a Comment