Other side of me

Tuesday

Selepas bersalin

Hari-hari pertama selepas kelahiran memanglah amat meletihkan, namun kuatkan semangat anda kerana bayi anda amat memerlukan susu ibunya! Bayi yang baru lahir mempunyai naluri hisapan yang kuat. Susuilah bayi anda secepat mungkin selepas dilahirkan, tetapi bukanlah bermakna sekiranya anda gagal menyusukan bayi anda pada jam-jam pertama kelahirannya bermakna anda gagal akan terus gagal untuk menyusukan bayi anda.

Pengalaman menyusui bayi yang baru lahir adalah satu pengalaman indah bagi seseorang ibu. Susuilah bayi anda dengan kerap, mengikut permintaannya, bukan mengikut jadual waktu yang tertentu. Sudah tentu, jika bayi anda lebih suka tidur, bangunkahlah dia dan galakkan dia menyusu lebihkurang setiap 3 jam.

Hari-hari pertama adalah waktu-waktu yang penting. Terdapat sesetengah ibu risau sekiranya bayinya tidak mendapat susu yang cukup atau merasakan mereka tidak mempunyai susu yang cukup untuk bayi mereka pada hari pertama kelahiran. Ini adalah tidak benar. Buah dada mungkin belum dipenuhi susu, namun susu ini tersangat penting. Susu awal ibu tidaklah banyak tetapi pekat dan berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolustrum dan kaya dengan protein serta antibodi yang boleh melindungi bayi dari penyakit. Kolustrum ini sudah cukup untuk mengenyangkan bayi anda.

Bayi tidak perlu diberi susu botol tambahan ataupun air masak. Bekalan susu ibu bergantung kepada rangsangan. Buah dada biasanya penuh dengan susu selepas hari kedua hingga keenam.Semasa ini, buah dada terasa membengkak dan kurang selesa.

Teruskan menyusu bayi anda dengan lebih kerap dan anda akan merasa lebih selesa apabila penyusuan berjalan lancar (biasanya dalam masa 2-3 hari). Buat permulaan , bayi anda mungkin akan menghisap selama beberapa minit sahaja. Biarkan dia menghisap lebih lama jika mahu. Keperluan seseorang bayi adalah berlaian daripada bayi yang lain. Anda haruslah menyusui bayi bergilir-gilir di kedua-dua buah dada. Ini adalah supaya kedua-dua buah dada terangsang dengan cukup agar susu dapat dihasilkan dengan kadar yang mencukupi. Susuilah bayi anda dengan kedudukan yang selesa.

Anda bolehlah duduk atau baring mengikut keselesaan anda. Gunakan bantal untuk mengampu tangan atau belakang,jika mahu. Pastikan bayi mengiring rapat menghadap anda agar dia dapat memasukkan sebanyak mungkin kawasan areola (tampuk hitam disekitar puting) ke dalam mulutnya. Posisi penyusuan yang baik akan dapat mengelakkan masaalah seperti sakit puting atau kurang susu. Jika anda menghadapi masalah, dapatkan bantuan dari mereka yang mahir.

Mental
Yakinkan diri yang susu anda mencukupi untuk bayi anda. Jangan mudah terpengaruh dengan kata-kata bahawa susu anda tidak mencukupi untuk bayi anda. Ingatlah jika anda berupaya melahirkan seorang bayi ke dunia ini, anda sudah pasti mampu memberikannya susu yang terbaik. Pastikan anda tidak memberikan bayi anda susu botol tambahan atau air masak Bayi tidak perlu diberikan makanan atau minuman lain kecuali susu ibu hingga berusia 4 hingga 6 bulan. Cara menghisap puting botol dan puting buah dada adalah berbeza. Ini boleh mengelirukan bayi dan akan meggagalkan Penyusuan susu ibu.

Fizikal
Susuilah bayi dalam keadaan tenang dan banyak berehat pada minggu-minggu awal selepas kelahiran bayi. Jangan menyusu dalam keadaan terburu-buru. Masa 6 minggu pertama adalah `masa latihan' untuk ibu dan bayi. Masa, ketenangan dan kesabaran akan menyelesaikan banyak masalah. Biarkan suami atau ibu membantu anda melakukan kerja-kerja rumah. Makan makanan yang seimbang dan minum air yang mencukupi. Ada sesetengah orang berpendapat tidak elok minum air dalam jumlah yang banyak sewaktu dalam pantang kerana ditakuti rahim akan mengembang. Ini adalah tidak tepat kerana air adalah sangat penting untuk memastikan anda menghasilkan susu yang cukup dan mengelakkan sembelit.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin