Other side of me

Monday

Adakah selamat menyusu sewaktu mengandung?

Ramai ibu-ibu yang menyusukan bayi mereka berasa ragu-ragu hendak meneruskan penyusuan setelah mendapati mereka mengandung. Walau pun sebenarnya ramai pakar laktasi berpendapat kebanyakan ibu tidak bermasalah untuk meneruskan penyusuan ketika mengandung, namun begitu masih ramai lagi yang bertindak menghentikan penyusuan.

Dalam usia kandungan mencecah 28 minggu, saya masih lagi menyusukan anak saya. Bagaimana pun, disebabkan masalah kekurangan susu yang amat teruk saya terpaksa memberikan susu formula, susu soya (kotak) dan juga susu segar kepada anak saya yang berumur satu tahun setengah. Setakat ini, selain dari masalah keletihan dan kesakitan pada puting, saya tidak menghadapi sebarang masalah serius dengan kandungan saya. Malah, doktor juga membenarkan saya meneruskan penyusuan selagi saya mampu.

Terdapat banyak pendapat tentang perlunya menghentikan penyusuan ketika mengandung, tetapi tidak semuanya tepat.

(1) Hisapan bayi akan menyebabkan pengecutan pada rahim dan boleh menyebabkan kelahiran pra-matang pada kandungan - Hisapan bayi akan merembeskan hormon prolaktin yang menyebabkan contraction, keadaan yang sama berlaku ketika melakukan hubungan antara suami isteri. Kebanyakan pakar berpendapat, kadar hormon yang dirembeskan tidak cukup untuk menyebabkan kelahiran pada bayi yang sedang dikandung oleh ibu tersebut.

(2) Bayi dalam kandungan akan mengalami masalah kekurangan nutrisi - Badan manusia telah diciptakan dengan cukup sempurna di mana ia mampu membahagikan nutrisi seimbang kepada bayi dalam kandungan untuk membesar dan menghasilkan nutrisi yang cukup untuk bayi yang sedang menyusu. Bagaimana pun, dalam kebanyakan kes, hormon yang dirembeskan ketika mengandung akan menyebabkan ibu mengalami kekurangan susu. Oleh kerana itu, bayi yang lebih dewasa perlu nutrisi tambahan dari makanan atau pun susu formula bagi menampung keperluan nutrien bagi tumbesaran mereka.

(3) Penyusuan sewaktu mengandung meningkatkan risiko ibu mengalami osteoporosis (tulang rapuh) sewaktu mengandung - Setakat ini tidak ada kajian yang dapat membuktikan ibu-ibu yang mendapat nutrisi yang mencukupi sewaktu mengandung akan menghadapi masalah tulang rapuh apabila menyusukan anak sewaktu mengandung. Malah menyusukan bayi dapat mengurangkan risiko kanser payudara bagi wanita.

Menyusukan bayi sewaktu mengandung secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara ibu, bayi yang lebih tua dan juga bayi di dalam kandungannya. Secara peribadinya, saya mendapati anak saya dapat memahami bahawa dia bakal menjadi abang dengan melihat perubahan fizikal saya dan dalam masa yang sama dia menunjukkan kasih sayang kepada bayi dalam kandungan saya dengan mencium dan juga memeluk perut saya. Walau bagaimana pun, sekiranya anda masih berasa ragu-ragu untuk meneruskan penyusuan ketika mengandung dapatkan nasihat pakar sebelum membuat sebarang keputusan.

Wednesday

Sokongan suami, cara mudah mendapatkannya

Breastfeeding bukan lah satu perkara yang menyusahkan. Malah, selain dari dapat menambah kemesraan ikatan antara suami-isteri-anak, ia juga dapat membantu kewangan keluarga kerana tidak perlu lagi menyediakan wang untuk membeli susu formula setiap bulan. Juga tidak perlu bangun malam untuk menyediakan susu untuk bayi.

Bagaimana pun, ramai ibu yang berputus asa kerana tidak mendapat sokongan dan pengetahuan yang cukup tentang penyusuan susu ibu. Terutamanya ibu-ibu muda yang melahirkan anak pada kali pertama. Masih ramai lagi ibu yang mempunyai azam yang kuat ingin menyusukan bayi mereka tetapi tidak mempunyai sokongan dan pengetahuan yang cukup tentangnya lalu berputus asa sebelum bayi cukup umur 6 bulan.

Mendapatkan pengetahuan mengenai penyusuan yang betul bukan sahaja tanggungjawab isteri, ia adalah tanggungjawab bersama bagi suami. Oleh itu, sokong suami adalah sangat penting. Lelaki biasanya amat sukakan sesuatu yang menjimatkan. Oleh kerana itu, bagi mendapatkan sokongan dari suami kita bolehlah berbincang dengan suami tentang penjimatan yang dapat dibuat melalui penyusuan susu ibu. Buat kira-kira tentang penjimatan yang dapat dibuat dalam masa sebulan dan sepanjang masa bayi menyusu. Beritahu suami bahawa dia tidak perlu bersusah payah bangun ditengah malam untuk menyediakan susu bayi sekiranya bayi menyusu dengan susu ibu.

Setelah berjaya mendapatkan sokongan suami, bersama-samalah untuk mendapatkan pengetahuan yang betul tentang penyusuan susu ibu. Minta bantuan dari pakar sekiranya menghadapi masalah. Bertanya pada saluran yang salah boleh menyebabkan maklumat yang diperolehi tidak tepat. Menyusukan bayi adalah satu pengalaman yang sangat berharga bagi seorang ibu. Oleh itu pastikan ia menjadi pengalaman yang menyeronokkan untuk diingati pada masa akan datang.
Blog Widget by LinkWithin