Tahun 2011 memang tahun murah rezeki buat kawan-kawan terdekat, sejak awal tahun lagi ramai yang beroleh cahaya mata. Tahniah buat ibu bapa yang baru saja menimang cahaya mata. Tahniah juga buat ibu-ibu yang memilih untuk menyusukan bayi mereka dengan penyusuan susu ibu sepenuhnya. Buat yang tidak berjaya, diharap agar tidak putus asa kerana terdapat banyak kaedah untuk menambah pengeluaran susu ibu. Bagi kaum bapa, tunjukkan sokongan kepada isteri atas pengorbanan mereka memberikan komitmen dalam usaha untuk memberikan yang terbaik buat cahaya mata anda. Anda mungkin bernasib baik kerana tidak perlu bangun di tengah malam untuk membancuh susu buat si manja, tapi bersedialah membantu isteri menukar lampin.
Bagi yang pertama kali melalui pengalaman menyusukan bayi tentu rasa teruja apabila melihat si manja khusyuk menyusu tanpa menghiraukan hiruk pikuk persekitaran. Mungkin ramai yang mengadu sakit pinggang apabila mulut kecil itu enggan melepaskan pautan pada ibu. Jangan susah hati kerana perkara ini adalah perkara normal yang berlaku kepada semua bayi yang baru lahir. Biasanya ia tiada kena mengena dengan ibu kurang susu lalu menyebabkan bayi tersebut lapar. Bayi yang baru lahir belum dapat membiasakan diri dengan kehidupan di dunia baru. Dunia di dalam rahim ibunya, ia sentiasa dilindungi oleh cecair amnion dan sentiasa dekat dengan ibunya sehinggakan setiap degupan jantung ibunya dapat didengari oleh bayi tersebut. Apabila ia dilahirkan tentulah bayi itu berasa kurang selamat kerana ia tidak lagi mendengar degupan jantung ibunya.
Ibu bapa dinasihatkan agar tidak menambah susu formula dalam diet bayi yang sedang diberikan susu ibu sepenuhnya. Ini kerana susu ibu adalah sangat unik di mana semakin banyak diminum, semakin banyak yang akan terhasil. Sekiranya anda mula menambah susu formula ke dalam diet bayi, penghasilan akan berkurangan kerana permintaan yang berkurang. Ini seterusnya akan menggagalkan penyusuan susu ibu secara eksklusif.
Tidak dinafikan bayi yang disusukan dengan susu formula akan tidur kekenyangan lebih lama berbanding bayi yang disusukan dengan susu ibu. Ini adalah kerana, susu formula lebih sukar untuk dihadamkan berbanding susu ibu. Oleh itu, bayi akan berasa kenyang lebih lama. Untuk makluman ibu-ibu, kenyang lebih lama bukanlah semestinya perkara yang baik bagi bayi kerana apabila susu formula boleh menyebabkan bebanan pada sistem penghadaman bayi dan menyebabkan masalah seperti kembung perut dan sembelit. Terdapat kajian yang menyatakan bahawa bayi yang disusukan dengan susu formula lebih cenderung mengalami masalah berkaitan dengan sistem penghadaman seperti gastrik apabila mereka dewasa kelak. Begitu juga dengan bayi yang diberikan makanan separa pepejal terlalu awal.
Di sini saya ingin berkongsi tips bagi menghadapi krisis bayi kerap ingin menyusu pada jangka masa lama
(1) Sekiranya menyusukan dalam keadaan duduk, pastikan kedudukan selesa. Pastikan ibu tidak membongkong. Sokong kedudukan bayi dengan bantal, dan susukan dalam keadaan bersandar dapat mengelakkan dari sakit pinggang.
(2) Sekiranya menyusukan dalam keadaan baring, pastikan anda mengiring mengadap bayi dengan belakang disokong oleh bantal. Kemudian letakkan satu bantal di celah kaki. Letakkan juga bantal kecil untuk menyokong kedudukan bayi
(3) Jangan risau tentang kerja rumah yang terbengkalai kerana dalam tempoh berpantang anda sepatutnya lebih menumpukan perhatian pada bayi dan diri sendiri. Dapatkan bantuan suami atau orang lain untuk menyiapkan kerja-kerja rumah. Pastikan anda mendapat rehat yang mencukupi ketika bayi tidur. Jangan sesekali cuba membuat kerja rumah ketika ini.
(4) Sentuhan dapat membantu bayi agar tidur lebih lena. Urut bayi secara lembut selepas dimandikan dengan minyak bayi. Bagaimana pun pastikan anda kejutkan bayi untuk disusukan setiap 2 jam sekali bagi menggalakkan pengeluaran.
(5) Sebaik yang mungkin, elakkan dari memberikan puting kosong atau penyusuan susu ibu melalui botol pada 2-3 minggu pertama bayi. Ini penting bagi mengelakkan dari kekeliruan puting yang akan menjejaskan penyusuan secara terus (direct feeding) dan seterusnya boleh menyebabkan kegagalan badan menghasilkan susu yang cukup untuk keperluan si manja.
(6) Menurut kajian, kelaparan bukanlah faktor utama yang menyebabkan bayi menangis. Antara punca tangisan bayi adalah seperti, mahukan perhatian/belaian, tidak selesa kerana lampin basah, perut kembung atau kesejukan.
(7) Makan makanan seperti oat, supplement alfalfa, protein powder dan makanan kaya vitamin b (atau tablet b complex) dan omega-3 sedikit sebanyak membantu menambah pengeluaran susu dan sedikit sebanyak menambah kepekatan (memperbaiki kualiti lemak yang terkandung dalam susu)
Jangan lupa sendawakan bayi setiap kali selepas menyusu. Bayi juga mempunyai kecenderungan menghisap susu lebih lama untuk menghilangkan sucking needs mereka (maaf tak pasti terms dalam bahasa) Ada kajian menunjukkan bahawa bayi yang dipenuhi sucking needs nya akan cenderung untuk tidak merokok apabila mereka dewasa kelak. Jadi kepada ibu-ibu, usahlah mengeluh bila bayi nak melekap lebih lama :)
No comments:
Post a Comment