Other side of me

Tuesday

Siapa betul?

Sejak bersalin anak kedua ni saya sering berhadapan dengan orang-orang yang tidak menyokong tandem nursing dan penyusuan selepas umur dua tahun. Kebetulannya anak sulung cukup dua tahun lebih kurang tiga bulan lepas kelahiran adiknya. Saya dan suami sudah bersetuju meneruskan penyusuan susu ibu kepada si sulung memandangkan menurut maklumat yang saya dapati dari internet, 

- Islam menggalakkan penyusuan susu ibu sehingga dua tahun, tetapi tiada larangan sekiranya hendak meneruskan penyusuan selepas cukup tempoh tersebut
- Tiada bukti saintifik yang menunjukkan penyusuan selepas dua tahun membawa keburukan kepada kanak-kanak
- Ramai ibu-ibu yang masih meneruskan penyusuan selepas dua tahun, malah tak kurang juga yang menyusukan seorang anak lain dalam masa yang sama
- Ramai pakar laktasi berpendapat kebanyakan ibu yang mengamalkan tandem nursing tidak mengalami masalah kekurangan susu.
- Tandem nursing sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah sibling rivalry. Malah, dapat menjalin hubungan erat antara adik-beradik.

Ramai yang mempunyai pendapat berbeza dan oleh kerana itu, saya terpaksa mengambil langkah untuk tidak memberikan sebarang komen bagi mengelakkan perkara yang kurang menyenangkan. Antara pendapat yang sering saya terima
- Abang ambik hak adik nanti
- Budak yang menyusu lebih dua tahun nanti jadi degil
- Kalau dia berhenti menyusu nanti makan banyak. 

**Saya tidak menafikan anak sulung agak kecil berbanding kanak-kanak pada tahap umurnya. Tetapi saya agak risau sekiranya memberhentikan penyusuan susu ibu terhadapnya, bukan saja dia tidak minum susu, malah tak mahu makan banyak.Inilah dilema yang saya hadapi. Bagi saya, saya tidak menyalahkan mereka yang menghalang saya meneruskan penyusuan 100%, dan saya juga tidak berani mengatakan yang tindakan saya meneruskan penyusuan adalah betul 100%. 

Bagaimana pun, saya berpendapat bahawa pada saat ini, saya meneruskan penyusuan untuk kebaikan anak saya. Mungkin orang lain yang menghadapi keadaan seperti saya tidak akan meneruskan penyusuan kerana mereka berpendapat penyusuan selepas dua tahun akan membawa keburukan kepada anak mereka. Saya tidak sedikit pun menyalahkan mereka, kerana menurut Islam, penyusuan sehingga umur dua tahun adalah mencukupi. Cuma, buat masa ini, saya belum bersedia memberhentikan penyusuan susu ibu kepada anak sulung.
Jadi, hormatilah keputusan saya sebagaimana saya menghormati keputusan orang lain kerana saya kasihan pada anak sulung bila orang kata "jangan ambik hak adik tu". Saya ibu kepada keduanya, kedua anak saya mempunyai hak pada susu ibu mereka.

2 comments:

We Luv Thaqif said...

Bagi saya apa u tulis ni benar belaka. Takde istilah ambil hak adik & jika berkemampuan saya pun nak menyusukan anak saya melebihi 2 tahun... Kesemua anak kita berhak menyusu dengan susu kita & alhamdulillah anak saya hampir 5 bulan.. Full SI... :)

Unknown said...

Alhamdulillah. Semoga u berjaya meneruskan SI selama yang mungkin. kita jadi ibu semestinya nak yg terbaik untuk anak2..

Blog Widget by LinkWithin