Other side of me

Monday

False Alarm

Menurut pakar ramai ibu-ibu yang berputus asa menyusukan bayi mereka kerana berasa sangsi dengan pengeluaran susu mereka. Kebanyakan mereka beranggapan bayi tidak selesa atau meragam akibat kekurangan susu. Ketahui beberapa petanda tidak benar dalam penyusuan atau lebih dikenali sebagai False Alarm.

(1) Bayi hendak menyusu lebih kerap
Kekerapan penyusuan antara 8-10 kali dalam masa 24 jam bukanlah satu perkara yang luar biasa terutamanya pada bayi yang baru lahir. Pada peringkat awal selepas kelahiran bayi akan mengalami keinginan untuk menyedut (sucking need). Pada ketika ini juga, bayi akan ingin berada dekat dengan ibunya melalui menyusu ketika mereka berasa letih, tidak selesa atau sakit dan dalam keadaan tidak tenteram.

Pertambahan pada kekerapan penyusuan secara tiba-tiba biasanya berpunca dari growth spurt yang biasa berlaku pada bayi di antara 3-4 bulan atau keterbiasaan mereka tidur sambil disusukan.

(2) Bayi mahu menyusu dengan lebih lama
Sekiranya bayi kerap melekap pada ibunya bukanlah bermaksud mereka sentiasa lapar atau tidak cukup susu. Bayi akan meluangkan banyak masa pada payudara ibunya untuk mendapatkan keselesaan.

Apabila telah biasa menyusukan anda akan dapat membezakan sama ada bayi benar-benar minum susu atau hanya memenuhi keperluan menyedut. Ketika penyusuan rahang bayi akan bergerak agak perlahan dan mempunya pattern sedut-telan-berhenti dan ketika ini anda akan dapat mendengar bayi menelan. Manakala ketika bayi hanya ingin mendapatkan keselesaan pergerakan rahangnya adalah lebih pendek dan cepat dan hampir tiada bunyi menelan dapat dilihat ketika ini.

(3) Bayi tidak mahu minum susu untuk tempoh yang lama
Apabila bayi semakin membesar, mereka akan menjadi lebih kuat dan dapat menyusu dengan lebih berkesan. Dalam masa yang sama, let down reflex ibu akan menjadi lebih berkesan. Oleh itu, bayi akan mendapat lebih banyak susu dalam jangka masa yang singkat. Hasilnya, masa penyusuan akan menjadi lebih singkat.

(4) Bayi cepat lapar walau pun telah disusukan untuk tempoh yang lama
Ketahuilah bahawa terdapat banyak sebab bayi meragam selain dari lapar. Biasanya lapar adalah faktor terakhir yang menyebabkan bayi anda meragam.

(5) Payudara lebih lembut dan tidak "bocor" sebagaimana pada awal kelahiran bayi
Pada minggu-minggu awal kelahiran bayi, kebanyakan ibu akan mempunyai banyak susu dan ini akan menyebabkan payudara mereka akan berasa "penuh" seterusnya menyebabkan kebocoran. Bagaimana pun, selepas bayi berumur 6 hingga 8 bulan, badan ibu akan mula biasa dengan keperluan penyusuan bayi dan akan menyediakan susu mengikut keperluan bayi. Oleh itu, tiada lagi rasa "penuh" atau kebocoran selagi bayi disusukan mengikut keperluan dan payudara dikosongkan setiapkan penyusuan.

(6) Tidak dapat merasakan let down
Let down tidak mempunyai kaitan dengan banyak atau kurangnya pengeluaran susu. Ramai ibu yang tidak pernah merasakan let down tetapi dapat menyusukan bayi mereka tanpa sebarang masalah.

(7) Hanya dapat sedikit susu apabila mengepam atau memerah
Jumlah susu yang dapat diperah adalah bergantung kepada beberapa faktor seperti
- Jarak masa dengan kali terakhir mengepam atau menyusukan bayi
- Kekerapan mengepam
- Sejauh mana pam tersebut effective dan kesesuaian
- Pengalaman mengepam kerana mengepam atau memerah susu memerlukan teknik-teknik tertentu.

Sentiasa ingat bahawa bayi anda adalah pam terbaik bagi diri anda. Bayi anda akan mendapat lebih banyak susu daripada jumlah yang dapat anda pam.

(8) Bayi kurang buang air
Adalah normal bagi bayi yang diberikan susu ibu sepenuhnya tidak buang air selama beberapa hari. Ada juga yang langsung tidak berak antara 7-10 hari. Selagi bayi anda sihat, tiada masalah dalam pertambahan berat badan dan tiada masalah kencing tiada apa yang perlu dibimbangkan.

(9) Bayi menolak untuk disusukan atau meragam ketika disusukan
Ini biasanya berlaku ketika bayi mengalami masalah kembung dan tiada kena mengena dengan pengeluaran susu ibu tersebut. Selain dari itu, bayi juga akan meragam sekiranya mereka terlalu penat.

(10) Apabila diberikan susu dalam botol bayi menghisap dengan gopoh seolah-olah kelaparan walaupun setelah disusukan dengan susu ibu.
Ia bukanlah satu petanda yang jelas menunjukkan bayi anda benar-benar lapar disebabkan anda kurang susu. Menyedut adalah satu tindakan refleks bagi bayi, ia akan lebih kuat terutamanya bagi bayi kurang dari 3 bulan. Selepas 3 bulan ia akan berkurangan sedikit demi sedikit. Dengan memasukkan puting ke dalam mulut bayi, ia akan bertindak dengan menghisapnya. Ini bukan sahaja berlaku apabila disuakan dengan puting ibunya. Ia turut akan berlaku apabila disuakan dengan puting botol.

Tindakan refleks bayi akan menyedut susu daripada botol itu dan menyebabkan mulutnya dipenuhi susu, pada ketika ini, refleks bayi juga akan menyebabkan bayi menelan susu itu dan kemudian menghisap semula. Proses ini akan berulang-ulang dan menyebabkan bayi kelihatan menghisap susu dari botol tersebut dengan lapar walau pun dalam keadaan tidak lapar.Oleh kerana bayi tidak dapat mengawal refleks dari terus menghisap botol itu ia juga tidak dapat menghentikan pengeluaran susu dari botol yang diberikan. Maka, ia akan terus menghisap susu tersebut walau pun telah kenyang.

(11) Corak penyusuan bayi berbeza dengan bayi lain yang menyusu formula
Bayi yang diberikan susu ibu lebih kerap menyusu berbanding bayi yang diberikan susu formula kerana susu ibu lebih cepat dihadamkan berbanding susu formula. Biasanya antara 1.5 hingga 2 jam. Setiap bayi yang disusukan dengan susu ibu juga berbeza-beza corak penyusuannya. Oleh itu, jangan sekali-kali membandingkan bayi anda dengan bayi lain.

(12) Bayi anda selalu meragam dan mudah terjaga malam
Semua bayi tidak kira yang disusukan dengan susu formula atau susu ibu akan meragam sekiranya keperluannya tidak dipenuhi. Sekiranya bayi anda sihat, menambah berat badan dan kencing dengan banyak ia tidak menjadi masalah. Jangan jadikan susu formula sebagai jalan keluar kepada masalah ini. Sebagai ibu, anda seharusnya bersyukur kerana tidak perlu bangun malam untuk memanaskan air bagi membancuh susu bagi bayi anda.

(13) Anda risau tentang warna susu anda
Ramai ibu risau tentang khasiat susu yang dihasilkan kerana susu mereka kadangkala kelihatan "cair" berbanding susu formula. Berita baik kerana selagi anda mengamalkan pemakanan sihat, anda tidak perlu risau tentang khasiat susu yang badan anda hasilkan.

Selamat menyusu~

Sumber : Babycare

No comments:

Blog Widget by LinkWithin