Dalam menjayakan penyusuan susu ibu secara ekslusif sehingga sekurang-kurangnya 6 bulan pertama selepas kelahiran bayi, sokongan dari orang-orang yang terdekat terutamanya suami dan keluarga amatlah penting.
Berbincanglah dengan suami tentang keputusan anda untuk menyusukan bayi anda selama mungkin. Terangkan segala kebaikan dan khasiat susu ibu kepadanya. Sekiranya anda menyusukan bayi dengan susu ibu, suami tentulah tidak perlu bangun malam untuk membantu anda membancuh susu Formula kepada bayi yang lapar. Dia juga boleh berjimat kerana tidak perlu membelikan anda produk menguruskan badan penyusuan susu ibu dapat membantu ibu-ibu menurunkan berat badan.
Bagaimana pun, ibu-ibu juga perlu menanamkan keazaman yang kuat untuk memberikan penyusuan susu ibu kepada bayi. Ini kerana, penyusuan susu ibu terutamanya bagi ibu-ibu bekerja bukanlah satu tugas yang mudah. Malah, masih banyak ibu-ibu di Malaysia yang lebih senang memberikan susu Formula kerana berpendapat yang mahal adalah terbaik, memandangkan terdapat banyak susu Formula yang mempunyai begitu banyak kebaikan untuk bayi.
Oleh itu, ibu-ibu yang ingin menjayakan susu ibu perlulah mengetahui, sehingga hari ini, tiada susu Formula yang dapat menandingi kebaikan susu ibu dari segi khasiat yang terkandung di dalamnya. Malah, kandungan khasiat susu Formula tetap, tetapi khasiat yang terkandung di dalam susu ibu akan berubah mengikut keperluan bayi. Susu ibu lebih mudah dihadamkan oleh bayi berbanding susu Formula.
Jangan pedulikan pandangan orang luar mengenai keputusan anda untuk memberikan yang terbaik untuk bayi anda. Sekiranya orang-orang yang terdekat dengan anda menasihati anda untuk memberikan bayi anda susu Formula, terangkan kepadanya anda ingin memberikan yang terbaik untuk bayi anda dan yang terbaik untuknya adalah susu ibu.
Bagi ibu-ibu bekerja, anda mungkin perlu memberitahu majikan anda mengenai keputusan untuk meneruskan penyusuan susu ibu selepas kembali bekerja. Ini penting, kerana anda akan memerlukan masa untuk memerah susu beberapa kali dalam waktu kerja. Adalah bonus bagi anda sekiranya majikan anda bermurah hati menyediakan bilik khas untuk memerah susu di pejabat.
Di Malaysia, antara syarikat yang menyediakan bilik khas untuk memerah susu di pejabat yang dilengkapi dengan sink dan peti sejuk adalah IBM. Bagaimana pun jangan berputus asa sekiranya majikan anda tidak menyediakan ruang untuk memerah susu, kerana anda masih boleh memerah susu di surau atau stor atau pun pinjam bilik mesyuarat. Sekiranya anda tidak mempunyai pilihan selain dari memerah susu di tandas, dinasihatkan menggunakan pam.
No comments:
Post a Comment